Sabtu, 7 Disember 2013

Sekadar kenangan yang sukar dilupakan...

Semasa mula-mula bekerja di Pekan Pahang, aku mempunyai 2 rakan serumah. Kami bertiga berkawan baik walaupun tidak sekampung. Kami menjalani rutin harian kami dengan sebaik mungkin. Antara kami bertiga akulah yang paling muda ketika itu. 

Suatu malam sebaik pulang dari syif malam aku dan Kak Da terus sahaja masuk ke rumah setelah Kak Da selesai membuka kunci. Dari jauh kedengaran suara Kak Ta terjerit-jerit dari rumah jiran. Memang sudah menjadi kebiasaan apabila aku dan Kak Da bertugas syif malam Kak Ta akan menumpang di rumah jiran sebelah sementara kami pulang. Antara kami bertiga Kak Talah yang paling penakut, pernah diseretnya aku yang sedang tidur semata-mata untuk menemankannya buang air besar kerana sikap penakutnya itulah menyebabkan aku suka menyakatnya.

Apabila mendengar suara Kak Ta yang terjerit-jerit memanggil namaku aku melakukan sesuatu yang nakal. Aku tahu ketika itu Kak Ta sedang terkial-kial sedang melangkah longkang sebelum sampai ke rumah. Kebetulan di depan rumah jiranku ada sebuah longkang yang airnya sangat hitam dan likat. Entah kenapa malam itu gatal pula tangan aku menutup suis lampu . Keadaan menjadi gelap seketika yang kedengaran cuma suara Kak Ta yang nyaring beserta suara benda berat jatuh ke dalam longkang. Aku meraba-raba dalam kegelapan mencari suis lampu, mungkin kerana panik dengan suara jeritan Kak Ta itu membuatkan aku tidak menjumpai suis lampu tersebut. Dada aku berdebar kerana tiba-tiba suara jeritan Kak Ta sudah tidak kedengaran. Lemaskah dia? takanlah boleh lemas setahu aku longkang tu bukannya dalam sangat, kalau jatuh pun tak akan hapus tubuh Kak Ta yang debab tu. Fikirku nakal.

Sebaik suis lampu kupetik aku yang terjerit. Terkejut sungguh kerana di depanku berdiri satu lembaga hitam yang merenungku tajam. "Kau jahat Zai!.. sampai bila-bila pun aku tak nak kawan dengan kau". Aku terkesima, bila masa pula Kak Ta masuk rumah sedar-sedar dah ada depan mukaku. Kus semangat! hilang darah aku sekejap. Hanya matanya sahaja yang kunampak, seluruh baju dan mukanya sudah disaluti hitam, ketika itu aku keliru antara mahu ketawa dan terkejut. Kak Da yang cuma memerhatikan gelagat nakalku juga kelihatan marah denganku kerana Kak Ta dan Kak Da ada ikatan persaudaraan. Aku terkedu. Derap kaki Kak Ta yang debab tu kedengaran agak kuat menghentak lantai papan rumah sewaku. Aku terkebil-kebil. Perlahan-lahan rasa bersalah menyelinap dalam hatiku. "Tulah, usik lagi sarang tebuan", dengus Kak Da. Sebelum masuk tidur malam itu berkali-kali aku meminta maaf namun wajah masam Kak Ta yang aku dapat. Fuh! padan muka aku.

Keesokannya ketika Kak Ta sudah pergi kerja aku membasuh baju Kak Ta yang telah direndamnya dalam baldi. Bukan itu sahaja lantai rumah juga aku sukarela membasuhnya. Semua itu kulakukan walaupun tiada siapa yang suruh demi rasa bersalah. Kak Da yang melihat gelagat aku cuma memerli-merli aku. "Ha! padan muka, lain kali buat lagi". Aku cuma tersenyum kelat. Aku menjemur baju Kak Ta dan bila sudah kering aku melipatnya dan meletakkan dalam biliknya. Aku harap selepas ini Kak Ta mahu memaafkan aku. Begitulah yang kuharapkan. Namun apa yang kuharapkan tidak berlaku. Bukan sahaja dia tidak mahu memaafkan aku bercakap denganku pun dia enggan malah tengok muka aku pun dia tidak sudi, dipalingkan wajahnya kearah lain bila mata kami bertembung. Aduh! peritnya semua pengalaman ini, tapi memang aku yang salah kan?

Ketika itu bulan puasa, takkanlah nak kubiarkan ianya berlalu begitu sahaja aku rasa aku perlu lakukan sesuatu, sesuatu yang lebih teruk lagi agar ianya kan jadi kenangan yang tidak akan kulupakan sampai bila-bila. Fikiranku kembali nakal. Aku mula berfikir mencari idea yang baru. Tiba-tiba aku terjerit sendirian yes! jeritku... aku bagaikan ternampak jalan penyelesaiannya.. Aku harap ianya kan menjadi...

Pulang dari tempat kerja aku sembunyi-sembunyi membeli sekeping kad hari raya. Didalamnya kureka sesuatu, kononnya aku ni seorang jejaka yang sudah lama ingin berkenalan dengan Kak Ta tetapi segan nak mulakan perkenalan. Aku juga sudah lama berminat nak mengenalinya dengan lebih dekat. Siap memujinya dengan pelbagai kata-kata manis, aku juga telah menamakan diriku sebagai seseorang. Hmm... Akhirnya aku mengeposnya tanpa sesiapa pun yang tahu. Aku tersenyum sendiri ketika tanganku memasukkan surat itu ke dalam peti pos.

Hari yang kunanti-nantikan akhirnya tiba. Dari dalam bilik dapat kudengar bunyi enjin motorsikal posmen. Derap kaki Kak Ta juga kudengar berderap-derap memijak lantai papan rumah sewaku. Sebaik motor posmen berlalu aku mendengar suara jeritan Kak ta meneriak-neriak namaku. Aku cuma berdiri tegak di balik pintu bilikku. Pelbagai pertanyaan menampar hatiku. Mungkinkah dia tahu apa yang aku lakukan? aku sedikit cemas tetapi tulisan di dalam kad tu telah aku "lainkan". Maksudnya aku telah buat tulisanku lain dari tulisanku yang biasa. Susah juga nak aku lainkan tulisanku. "Zai! Zai!",teriaknya bertalu-talu, aku tiba-tiba cemas. Terdengar derap kaki Kak Ta menghampiri bilikku. Aku masih berdiri sambil berharap tiada apa-apa yang bakal berlaku. aku memejamkan mata sambil membayangkan tangan debabnya singgah ke pipiku. Berdebar sungguh aku.

Saat aku membuka mata Kak Ta sudah pun berdiri di depanku. Di tangannya ada sekeping kad raya. Sempat aku mengerling kad tersebut memang sah itulah kad yang aku tulis dan kupos beberapa hari yang lalu. Dirangkulnya aku sampai tak bernafas aku dibuatnya. Wajahnya berseri-seri. Aku terkesima diperlakukan begitu. Dari tutur katanya dia begitu percaya yang kad itu datangnya dari rakan setugasnya kerana selama ini ada seorang lelaki di tempat kerjanya yang suka memerhatikannya. "Memang sah!, dialah orangnya" kata Kak Ta. Aku menelan ludahku sendiri. Selepas peristiwa itu persahabatan kami akrab semula dan Kak Da sudah berhenti memperli aku malah kami bertiga menjadi teman rapat. Malah lebih rapat dari sebelumnya.

Aku bertanya-tanya sendiri berdosakah aku dengan apa yang lakukan. Sampai ke saat ini tiada sesiapapun yang tahu dengan apa yang telah kulakukan. Berdosakah aku?...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan